In The Media
Berita Harian, 10 Ogos 2004
KRU, Erra kongsi semangat patriotik di Genting
Great Eastern children's charity concert
Oleh Suzan Ahmad
SEMARAK bulan kemerdekaan semakin terasa apabila pelbagai persembahan dan pertunjukan diatur khusus untuk melahirkan rasa patriotisme terhadap negara selepas 47 tahun bebas dari cengkaman penjajah.
Semangat patriotisme ini juga dikongsi bersama trio dinamik KRU dan Erra Fazira yang diberi penghormatan untuk meraikan detik bersejarah itu bersama pengunjung Genting Highlands Kota Keriangan menerusi konsert Merdeka Countdown 2004 di First World Hotel (Outdoor) pada 30 Ogos nanti.
"Kami bangga dan cukup terharu kerana tahun ini Genting memilih KRU bersama Erra untuk bersama rakyat Malaysia menyambut hari kemerdekaan.
"Bukan saja kami bangga malah inilah pertama kalinya kumpulan KRU bergabung bersama Erra yang juga ahli keluarga baru keluarga besar KRU Music Group (KMG) demi menjayakan sebuah konsert yang cukup bermakna bagi kami," kata Norman ketika sidang media konsert berkenaan di Saloma Bistro, baru-baru ini.
Kata Norman, KRU yang kini dalam proses menerbitkan album terbaru menjanjikan persembahan lebih teratur, lengkap dengan tarian malah tidak ketinggalan rangkaian lagu hit lama dan baru.
"Kami menjanjikan persembahan lain daripada yang lain kerana bukan saja Erra menjadi sebahagian besar persembahan ini, malah ia dilengkapi sistem bunyi, pencahayaan dan kesan khas yang mendebarkan," tambah Edry yang tidak mahu ketinggalan menyampaikan mesej berunsur patriotisme dan cinta negara kepada 15,000 pengunjung Genting Highlands.
Sementara itu, Timbalan Naib Presiden Promosi dan Hiburan Resort World Bhd, Arthur Ong, berkata sambutan hari kemerdekaan negara kali ini bermula seawal jam 5 petang dan cukup istimewa kerana masuk adalah percuma.
"Kami menggalakkan anda datang awal ke sini kerana seawal jam 5 petang, KRU dan Erra melayan peminat menandatangani autograf. Malah 10,000 pengunjung pertama yang bertuah ke lokasi konsert ini akan diberikan cendera hati," katanya.
Tambah Arthur, selain sesi beramah mesra dengan artis, peminat juga berpeluang membeli-belah kerana banyak gerai dibuka termasuk gerai barangan keluaran terhad KMG.
Pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan Kumpulan Fantastica, pertunjukan gendang tradisi, tarian, permainan, Operafest Children Choir dan perarakan berwarna warni.
Arthur berkata, pihaknya ada alasan untuk mengadakan konsert itu di luar First World Hotel kerana sebaik tepat jam 12 malam kemuncak sambutan hari kemerdekaan bermandikan cahaya pertunjukan bunga api.
"Sudah pasti Jalur Gemilang akan dikibarkan dengan megahnya disusuli nyanyian Negaraku," katanya. Tiket boleh didapati di Pejabat Jualan Genting, Genting OneHub Centers, Worldcard Centers, Kaunter Boxoffice Genting, kaunter Hotel Theme Park Genting, pejabat urusan dan jualan KMG dan rangkaian F&B di Genting Highlands.
Untuk sebarang tempahan dan pertanyaan hubungi 03 2718 1118 atau lawati laman web www.genting.com.my |