In The Media
Harian Metro, 10 Ogos 2004
Konsert Erra, KRU
Oleh
Ramlah Zainal
BUKAN mudah menggandingkan dua nama besar dalam industri seni tempatan dalam satu konsert besar kerana pengisian agenda seni masing-masing cukup padat.
Bagaimanapun, itulah yang cuba direalisasikan Genting apabila cuba menggabungkan trio KRU, Norman, Yusry dan Edry dengan penyanyi popular yang juga Ratu Filem Melayu, Erra Fazira untuk Konsert Countdown Merdeka 2004 sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-47 pada 30 Ogos di Genting Highlands.
Gandingan dua nama besar ini juga adalah julung kalinya walaupun antara KRU dan Erra bukan asing kerana Erra dan anggota KRU, Yusry Abdul Halim adalah suami isteri.
Erra yang juga sibuk menjalani penggambaran filem barunya, Lady Boss, berkata dia menjanjikan persembahan hebat bersama KRU dalam konsert yang julung kalinya itu.
"Sebelum ini saya pernah berduet dengan Yusry tetapi inilah kali pertama saya menjayakan konsert dengan KRU. Sudah tentu keadaannya berbeza dan saya tidak sabar lagi beraksi di Genting.
"Selain menyampaikan rangkaian lagu popular, kami juga akan berduet dalam lagu yang dipilih dan menepati tema konsert," kata Errayang anggun dengan kebaya bersama jeans.
Sementara itu, Norman mewakili dua adiknya berkata, mereka menjanjikan persembahan mantap, unik dan ada kelainan tersendiri daripada mana-mana konsert yang pernah mereka jayakan sebelum ini.
"Sesuai dengan kematangan KRU sendiri, kami juga menjanjikan kejutan untuk konsert ini iaitu bingkisan khas untuk peminat. Maaf, kami tidak boleh bercerita lanjut mengenai kejutan atau gimik untuk konsert ini. Tunggulah kemunculan kami kelak.
"Peminat sendiri sedia maklum, konsert merdeka terbesar pernah dianjurkan di negara ini ialah Konsert bersama penghibur Allahyarham Sudirman Haji Arshad.
"Ia tidak bermaksud kami ingin meniru persembahan arwah Sudirman kerana apa yang lebih penting, kami menjanjikan hanya yang terbaik untuk peminat-peminat kami," katanya ketika sidang media Merdeka Countdown 2004, kelmarin.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Presiden, Promosi dan Hiburan Resort World Bhd, Arthur Ong.
Bercerita lanjut mengenai persembahan malam itu, Norman berkata, mereka akan menampilkan rangkaian lagu popular yang menaikkan nama Kru di persana seni seperti Babe yang sedang meniti dibibir peminat ketika ini serta lagu-lagu Inggeris dan lagu-lagu patriotik yang menepati tema konsert.
Dijangka seramai 20,000 penonton memenuhi Hotel First World (Outdoor), Genting pada hari itu sekali gus menghangatkan kedingingan malam di kawasan peranginan popular itu untuk menyambut detik 12 malam kemerdekaan.
Sebelum beraksi pada malam kemuncak yang dijangka bermula jam 7 malam, Kru dan Erra terlebih dahulu mengadakan sesi bertemu peminat pada jam 5 petang dan terbuka kepada semua pengunjung.
Penonton juga berpeluang menyaksikan persembahan hebat sarkas era baru, Fantastica yang membabitkan persembahan tarian menampilkan identiti masyarakat pelbagai kaum, permainan menarik serta Operafest Children Choir yang turut memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan kali ini.
Masuk adalah percuma tetapi peminat perlu mendapatkan tiket yang diedarkan sejak 2 Ogos lalu. Tempahan tiket atau keterangan lanjut, sila hubungi 03-27181118 atau laman web www.genting.com.my. |